Thursday 25 September 2014

KARANGAN
Tanggungjawab Pelajar Dalam Menjaga Kebersihan Sekolah
























         Sekolah yang bersih dapat memberi gambaran bahawa para pelajar di sekolah tersebut peka dan prihatin terhadap kebersihan.Para pelajar mempunyai
tanggungjawab dan peranan yang sangat penting untuk menjadikan sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria.

        Mula-mula sekali, pelajar-pelajar mestilah memastikan bilik darjah, sebagai tempat untuk menimba ilmu pengetahuan, sentiasa bersih dan kemas. Dalam hal ini, pelajar-pelajar haruslah menjaga kebersihan bilik darjah dengan membersihkannya semasa guru tiada di dalam kelas. Para pelajar harus membuang sampah ke dalam bakul sampah yang disediakan di dalam bilik darjah. Selain itu, para pelajar perlulah bertugas mengikut jadual tugasan yang telah sediakan dengan penuh tanggungjawab. Sekiranya bilik darjah bersih dan ceria pastinya para pelajar dapat belajar dengan tenang dan selesa.

        Seterusnya,   murid-murid   hendaklah   menjaga   kebersihan persekitaran sekolah dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak pengawas juga haruslah memainkan peranan dengan mengambil tindakan terhadap para pelajar yang mengotorkan kawasan sekolah. Selain itu, para pelajar hendaklah menjaga harta benda sekolah dengan baik iaitu tidak mengotorkan, menconteng atau merosakkan harta benda sekolah. Para pelajar juga haruslah bekerjasama memelihara pokok-pokok bunga yang terdapat di pekarangan sekolah supaya sentiasa hidup dengan subur agar dapat mencantik kan dan menceriakan kawasan persekitaran sekolah.
Keadaan persekitaran sekolah yang cantik dan ceria ini, mampu memberi ketenangan kepada para pelajar agar dapat belajar dengan sempurna.

        Selain itu, pelajar hendaklah melibatkan diri dalam kempen kebersihan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.Para  pelajar boleh menyertai aktiviti yang diadakan dalam kempen tersebut umpamanya,
gotong-royong, pertandingan kelas terbersih, pertandingan mengarang, pertandingan melukis poster dan lain-lain lagi.Kempen kebersihan yang dianjurkan oleh pihak sekolah sememangnya mampu
menjadikan sekolah kita bersih dan ceria, selain dapat memupuk semangat cinta akan kebersihan dalam kalangan para pelajar.

        Para pelajar juga haruslah membantu guru membersihkan setiap tempat di sekolah untuk menjamin keceriaan sekolah. Pelajar-pelajar boleh menolong guru membersihkan bilik guru agar sentiasa bersih dan kemas. Para pelajar juga harus bersikap ringan tulang dengan membantu guru mengecat dinding sekolah, melukis mural dan lain-lain lagi.

        Sebagai kesimpulannya, para pelajar harus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah kerana bersih itu indah. Jika sekolah kita bersih dan indah pastinya, sekolah akan menjadi tempat kita menimba ilmu pengetahuan dengan mudah dan berkesan agar dapat melahirkan modal insan menjelang wawasan 2020.

Hasil tulisan: Nur Aiman
Pelajar cemerlang UPSR 2013.

4 comments: