Thursday 25 September 2014


Cara-Cara Menghargai Jasa Guru










       Guru seumpama lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain. Daripada kata-kata ini, jelaslah bahawa guru merupakan insan yang terpenting yang sanggup berkorban apa-apa sahaja demi kebahagiaan masa depan anak-anak murid mereka. Kira-kira lima jam tiga puluh minit kita menghabiskan masa di sekolah. Dalam tempoh tersebut, kita dijaga diberi pendidikan, dan dibentuk agar menjadi manusia yang berguna oleh guru kita. Guru dapat diibaratkan ibu dan ayah kita di sekolah, sudah sewajarnya jasa mereka patut kita balas.

       Salah satu cara untuk membalas jasa guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, latihan yang diberikan oleh guru hendaklah disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Selain itu, kita juga hendaklah menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap apa-apa perkara yang diajarkan oleh guru kita dan sering bertanya jika terdapat sesuatu perkara yang tidak dapat difahami. Sebagai guru, pastinya akan berasa berbesar hati apabila anak muridnya berjaya kerana apa-apa  perkara yang diajarkannya dimanfaatkan oleh anak didiknya.

       Pada Hari Guru pula, sebagai murid kita haruslah memberikan hadiah kepada guru yang mengajar kita. Sebagai contoh, memberi mereka pen, bunga ataupun setidak-tidaknya kad atau ucapan penghargaan kepada mereka. Perbuatan yang kita lakukan ini pastinya akan membuatkan guru kita berasa terharu dan terasa dirinya dihargai kerana apa-apa yang dilakukan selama ini rupa-rupanya menjadi ingatan kepada anak muridnya.

       Selain itu, cara membalas jasa guru juga boleh ditunjukkan dengan menjadi manusia yang berkeperibadian mulia. Kita perlu menghormati guru-guru yang telah banyak berkorban kepada kita sepanjang masa. Apabila bertemu dengan guru-guru, lemparkanlah senyuman dan ucapan salam kepada mereka. Jika sikap berhemah ini kita amalkan, sudah tentu guru akan berasa gembira.

       Di samping itu, kita juga mestilah mengenang jasa mereka sepanjang hayat. Kejayaan seorang pemimpin negara dan kejayaan seorang doktor melakukan pembedahan ialah hasil kegigihan seorang guru menyuntik ilmunya. Kejayaan anak didik itulah yang memberi semangat kepada seorang guru untuk terus mengasuh dan mendidik generasi yang akan datang.

       Memang benar, sesungguhnya pengorbanan guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Oleh itu, sewajarnyalah kita menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Tanamkanlah dalam hati untuk menjadi insan yang berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum, dan berkeperibadian mulia.

Hasil Tulisan: Murid cemerlang UPSR 2013

2 comments: