Wednesday 24 September 2014

B.  Cara-cara untuk menggembirakan ibu bapa kita













        Setiap insan di muka bumi ini pastinya mempunyai ibu bapa. Ibu bapalah yang membesarkan dan mendidik kita agar kita menjadi orang yang berguna pada suatu ketika nanti. Oleh itu, setiap anak sewajarnya membalas jasa ibu bapa. 

        Salah satu cara untuk membalas jasa ibu bapa kita adalah dengan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Kejayaan yang cemerlang dalam UPSR pastinya akan menggembirakan ibu bapa kita. Sesungguhnya setiap
ibu bapa menginginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaranlah yang dapat menentukan masa depan anak-anak.

         Selain itu, kita sewajarnya mempamerkan tingkah laku yang mulia agar dapat menggembirakan ibu bapa kita. Apabila bertutur dengan ibu bapa, kita harus mengeluarkan kata-kata yang lembut dan sopan serta tidak menyiggung perasaan mereka. Segala nasihat yang diberikan oleh mereka hendaklah kita ikuti supaya kita tidak melakukan kesilapan atau ditimpa kemalangan.

           Di samping itu, kita juga hendaklah sentiasa bersikap ringan tulang dengan membantu mereka melakukan sesuatu pekerjaan untuk meringankan beban mereka. Contohnya, kita boleh menolong ibu bapa kita memasak, mencuci kereta, mengemas rumah dan lain-lain. Dengan cara ini, tentunya ibu bapa kita akan lebih menyayangi kita.

          Malahan, kita juga boleh memberikan hadiah serta mengucapkan selamat kepada ibu bapa kita pada hari ibu dan hari bapa atau mengucapkan selamat hari lahir semasa hari jadi mereka. Dengan cara ini mereka akan merasakan diri mereka dihargai dan disayangi oleh anak-anak mereka.

         Sesungguhnya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Segala perit jerih mereka membesarkan kita, seharusnya dihargai oleh anak-anak. Oleh itu, marilah kita sedaya-upaya berusaha untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa kita. 

1 comment:

  1. Yang 6 cara tersebut membantu utk karangan..kita boleh mengambil isi pengting...ini bermanfaat utk murid tahun 6(upsr)...dan lain.👍🙏

    ReplyDelete