Thursday 25 September 2014


Pengalaman Berkunjung ke Pasar Malam



















       Jam pada tangan saya menunjukkan tepat pukul 8:00 malam. Sebaik-baik sahaja selesai menikmati hidangan makan malam, ibu mengajak saya pergi ke pasar malam yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Kami ke sana dengan berjalan kaki dan mengambil masa selama 10 minit sahaja.

       Setibanya di sana, saya dapati orang ramai telah pun berasak-asak berjalan di antara gerai-gerai yang terdapat di pasar malam tersebut. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India dan Cina. Saya dan ibu saya terus menuju ke gerai yang menjual sayur-sayuran. Suasana pada ketika itu riuh-rendah dengan orang ramai yang mengunjungi pasar malam itu. Ibu membeli sayur-sayuran segar yang dijual di situ kerana harganya sangat berpatutan. Setiap kali pergi ke pasar malam, ibu pasti akan membeli sayur-sayuran di gerai itu. Ketika ibu sedang membeli sayur-sayuran, saya mengambil kesempatan untuk pergi ke gerai bersebelahan untuk membeli ayam goreng. Saya membeli beberapa ketul ayam goreng berempah dari gerai tersebut. Tidak jauh dari situ, kedengaran suara para penjual berteriak memanggil para pelanggan supaya membeli barang-barang di gerai mereka. Saya terus ke gerai sayur-sayuran untuk mendapatkan ibu saya.

        Selepas itu, ibu mengajak saya pergi ke gerai menjual pakaian wanita yang terletak tidak jauh dari situ. Kami terpaksa berjalan perlahan-lahan ke gerai tersebut kerana keadaannya sungguh sesak. Semasa berjalan kami terserempak seorang peminta sedekah yang kudung kakinya, duduk di atas jalan raya sambil menadahkan tangannya untuk meminta sedekah daripada orang ramai yang lalu-lalang di situ. Saya begitu bersimpati dengan peminta sedekah itu, dan menghulurkan wang sebanyak RM5.00, lalu beredar dari situ. Setibanya digerai menjual pakaian wanita, ibu saya membeli beberapa helai baju yang digemarinya.

        Sebelum pulang, saya membeli dua keping apam balik, selonggok jagung rebus dan sebungkus kacang kuda untuk dibawa pulang ke rumah. Pada ketika itu, orang ramai yang berada di pasar malam itu mulai berkurangan kerana telah pulang ke rumah masing-masing. Suasana mulai agak sunyi, hanya kedengaran bunyi generator milik para peniaga yang juga mulai mengemas barang-barang mereka.
          Kami pun pulang ke rumah sambil menjinjing beg plastik yang dipenuhi dengan barang-barang yang kami beli. Sesungguhnya pengalaman pergi ke pasar malam bersama ibu saya sememangnya amat menyeronokkan. Jika ada peluang, saya pasti akan mengikut ibu saya ke pasar malam lagi.

Karangan Srites Nair
Pelajar UPSR 2014


8 comments:

  1. baguslah karangan niii saya nak minta izin untuk menggunakan karangan ini di sekolah

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  2. i think this knowledge is useful for me to answer upsr this year

    ReplyDelete
  3. Thanks for this essay.This essay very useful for me

    ReplyDelete