Wednesday 24 September 2014



Laporan Hari Anugerah kecemerlangan Murid



















                      Laporan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid
                           Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria
                                            Johor Bahru 

      Pada hari Sabtu bersamaan 12 Januari 2014, Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria telah melangsungkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid di dewan sekolah. Majlis yang sering diadakan setiap tahun ini bermula seawal jam 8:00 pagi, dengan kehadiran murid-murid dan para ibu bapa yang turut meraikan majlis.

       Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada murid-murid sekolah ini yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Penganugerahan ini juga diharapkan dapat memberikan motivasi kepada murid-murid sekaligus menanamkan semangat berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan dalam
kalangan murid sekolah ini. 

       Tepat jam 9:00 pagi, kedengaran paluan kompang menandakan kehadiran tetamu kehormat, Encik Baba bin A. Rahman iaitu Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat dan ucapan oleh Pengerusi PIBG, diikuti oleh ucapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria. Pada kira-kira pukul 10:30 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai  Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Encik Baba Bin A. Rahman. Dalam ucapannya, antara lain beliau telah menasihati ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak.

       Beberapa persembahan oleh murid-murid turut diadakan untuk para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan dikir barat oleh murid-murid tahun enam, petikan gitar oleh murid tahun lima, dan persembahan deklamasi sajak oleh ketua murid sekolah ini iaitu Siti Nurbayah Binti Razali.

       Acara kemuncak majlis ini ialah upacara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya memperolah 5 A, dan 4 A dalam UPSR pada tahun lepas. Selain itu, murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun dan murid-murid yang aktif dan cemerlang dalam bidang kokurikulum turut menerima hadiah. Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Encik Baba Bin A. Rahman.

       Pada keseluruhannya, majlis tersebut berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para undangan dan tetamu yang hadir dijemput menikmati juadah sejurus majlis ini menutup tirainya pada kira-kira pukul 12:30 tengah hari. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid sekolah ini untuk lebih cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum pada masa yang akan datang.

Disediakan oleh:                                        20 JANUARI 2014


( KARTINA BINTI A. RAZAK )
Setiausaha Hari Anugerah Kecemerlangan Murid,
Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria,
Johor Bahru.

1 comment: