Thursday 25 September 2014


Faedah-Faedah Bersukan


















        Sukan meliputi segala bentuk kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga seperti berenang, bermain bola sepak, tenis lumba lari dan lain-lain lagi. Saban tahun sekolah kita pasti akan menganjurkan kejohanah sukan  tahunan. Setiap murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Hal ini membuktikan bahawa sukan sebenarnya banyak mempunyai faedah kepada kita.

        Antara faedah bersukan ialah badan kita akan menjadi sihat dan cergas. Hal ini terjadi demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan memerlukan peluh. Peluh yang mengalir akan mengeluarkan bersama bahan-bahan toksik daripada badan kita. Kesannya, otak kita akan menjadi cerdas dan tenang serta memudahkan kita untuk belajar.

        Selain itu, aktiviti ini dapat menambahkan rakan dan kenalan kita. Lazimnya, pelbagai kaum turut terlibat    dalam    sesuatu     acara      sukan    yang dipertandingkan. Dengan cara ini, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk. Bersukan juga dapat merapatkan hubungan silaturahim, sekali gus dapat melahirkan semangat muhibah dan persaudaraan.

        Di samping itu, bersukan juga dapat mengharumkan nama sekolah kita. Sekiranya seseorang peserta berjaya menjadi johan dalam sesuatu pertandingan sukan, sekolah kita akan dikenali ramai. Seterusnya, setelah dewasa nanti seseorang murid itu akan berusaha untuk mengharumkan nama negara pula dalam sesuatu acara sukan di peringkat antarabangsa.

        Seterusnya, penyertaan kita dalam sesuatu acara sukan bermakna kita dapat memanfaatkan masa lapang kita dengan aktiviti yang berfaedah. Kesannya, kita terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti melepak, merosakkan harta benda awam, bergaul dengan budak-budak nakal dan lain-lain lagi.

        Kesimpulannya, bersukan sememangnya aktiviti yang banyak memberikan manfaat kepada kita. Oleh itu, untuk menjadi murid yang cemerlang kita harus melibatkan diri dalam aktiviti sukan, selain berjaya dalam bidang pelajaran.

Oleh: Nur Aiman
         Pelajar UPSR 2013.  

No comments:

Post a Comment