Wednesday 24 September 2014


Guru Yang Saya Sayangi





















       Guru merupakan insan yang paling penting dalam mencorakkan hidup seseorang pelajar. Tanpa bimbingan dan didikan guru pastinya saya dan rakan-rakan saya tidak akan dapat menikmati kehidupan yang cerah pada masa depan. Sebanyak tiga puluh orang guru yang mengajar di sekolah saya. Mereka bertugas dengan penuh dedikasi demi masa depan murid-murid. Walau bagaimanapun guru yang paling saya sayangi di sekolah saya ialah Cikgu Rahmah. Cikgu Rahmah berumur empat puluh tahun. Beliau sudah berumah tangga dan kini mempunyai empat cahaya mata. Guru yang berkulit kuning langsat dan berambut panjang ini selalu berpakaian kemas ketika bertugas dan mempunyai penampilan yang menarik. Tidak hairanlah Cikgu Rahmah sememangnya amat disenangi oleh murid-muridnya.

       Saya amat menyayangi Cikgu Rahmah kerana beliau seorang guru yang baik hati dan bertanggungjawab. Beliau mengajar saya mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains. Semasa mengajar beliau begitu tegas, tetapi pandai berjenaka menyebabkan saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah berasa bosan mengikuti pengajaran yang disampaikan oleh beliau.

       Cikgu Rahmah juga pandai mengambil hati murid-muridnya. Apabila kami melakukan kesalahan, beliau tidak akan memarahi kami. Sebakilnya, beliau akan membimbing dan menasihati kami supaya tidak akan melakukan kesalahan yang sama. 

        Sekiranya ada masa lapang, Cikgu Rahmah akan berbual-bual dengan saya dan rakan-rakan saya. Lazimnya Cikgu Rahmah akan bertanyakan masalah yang kami hadapai terutama dalam bidang pelajaran. Beliau sememangnya begitu prihatin terhadap anak-anak muridnya.

       Pada sebelah petang, Cikgu Rahmah akan melatih kami bermain hoki. Beliau merupakan jurulatih hoki yang sangat dedikasi di sekolah saya. Teknik permainan yang diajarkan oleh Cikgu Rahmah banyak membantu pasukan hoki sekolah saya meraih kejayaan dalam setiap perlawanan.

        Kami berasa amat bersyukur kerana mempunyai guru yang baik hati dan penyayang. Beliau bukan sahaja seorang pendidik, malahan kami menganggapnya sebagai ibu. Segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan kepada kami amat kami hargai dan dikenang sampai bila-bila.

12 comments: