Wednesday 24 September 2014



Faedah menyertai aktiviti kokurikulum.
















     Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat tiga jenis kegiatan kokurikulum iaitu termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Para pelajar digalakkan menyertai aktiviti ini kerana banyak mendatangkan  faedah.

      Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Dengan menyertai aktiviti ini, kita tidak akan melakukan aktiviti yang tiada faedah seperti merokok, melepak, mencuri dan lain-lain. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat memenuhi masa lapang kita dengan perkara-perkara yang berfaedah.

      Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih diri pelajar untuk menjadi pemimpin. Dengan menyertai aktiviti ini para pelajar berpeluang memegang jawatan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Oleh hal yang demikian, dengan menyandang jawatan-jawatan ini, akan membuatkan pelajar lebih bijak menguruskan sesuatu pekerjaan tanpa bantuan guru-guru mereka sekali gus dapat belajar menjadi seorang pemimpin.

       Malahan, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum. Ini kerana setiap kelab disertai oleh ahli yang berbilang kaum seperti Cina, Melayu, India dan lain-lain. Oleh itu, kita boleh berbincang atau bertukar-tukar pendapat dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini terjalinlah hubungan yang erat sesama kita.

       Di samping itu, dengan menyertai aktiviti kokurikulum seseorang itu dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan.
Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas, dan lain-lain. Justeru, pelajar haruslah menyertai aktiviti kokurikulum untuk memantapkan disiplin mereka.

       Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai aktiviti kokurikulum. Oleh itu, marilah kita memanfaatkan masa yang terluang kita dengan menyertai aktiviti ini agar menjadi pelajar yang cemerlang, bukan sahaja dalam bidang pelajaran bahkan juga dalam bidang kokurikulum.

No comments:

Post a Comment