Wednesday 12 November 2014


 KATA SENDI NAMA

A. Kata sendi nama "dari"

Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu.

(a) menunjukkan tempat atau arah
     i) Angin kencang bertiup dari arah selatan.
    ii) Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.
   iii) Bola itu ditendang dari penjuru padang.
   iv) Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi.
    v) Orang itu merantau dari Kedah ke Johor.
   vi) Anda datang dari mana?

(b) menunjukkan waktu atau masa.
     (i) Mesyuarat itu akan diadakan dari pukul sembilan pagi
         hingga pukul enam petang.
    (ii) Perkara itu telah diketahui dari subuh lagi.
   (iii) Tempoh pembayaran bermula dari tarikh penyerahan
         barang itu.
   (iv) Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi.


B. Kata sendi "daripada"

Kata sendi daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, dan perbezaan atau perbandingan.

(a) menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan  
     unsur mujarad. Contohnya:

     (i) Pemain sarkas itu menerima bola daripada  
         beruangnya.
    (ii) Daripada siapakah gerangan surat ini?
   (iii) Dia menjauhkan diri daripada bahaya dadah.
   (iv) Borang permohonan biasiswa itu boleh didapati 
         daripada Kementerian Pendidikan. 
    (v) Cadangan daripada persatuan kami telah diterima.
   (vi) Sumbangan daripada kerajaan telah diterima.

(b) menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu 
     benda. Contohnya:

    (i) Ukiran itu diperbuat daripada logam.
   (ii) Semua ubatnya daripada akar kayu.
  (iii) Benang berasal daripada kapas.
  (iv) Ahli PIBG terdiri daripada ibu bapa dan guru.
   (v) Air berpunca daripada gabungan hidrogen dan air. 

(c) menunjukkan perbezaan atau perbandingan. Contohnya:

    (i) Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi 
        pertama.
   (ii) Cuaca pada hari ini dijangka akan lebih buruk daripada 
        semalam.
  (iii) Daripada Ali lebih baik Ahmad.
  (iv) Kami tiba lebih awal daripada mereka.
   (v) Cara berfikirnya lain daripada yang lain.
  (vi) Harga ayam meningkat daripada RM5.00 sekilogram 
        kepada RM6.50 sekilogram.

C. Kata sendi nama "kepada"

Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan.

(a) menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, dan 
     unsur mujarad. Contohnya:

     (i) Sila kembalikan borang itu kepada kerani pejabat ini.
    (ii) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing.
   (iii) Ali mengirim surat kepada abang.
   (iv) Pastikanlah anak-anak tidak terdedah kepada bahaya 
         dadah.
   
(b) menyatakan pecahan. Contohnya:

     (i) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.
    (ii) Waktu persekolahan dipecahkan kepada sesi pagi dan 
         sesi petang.
   (iii) Suhu yang sangat tinggi sahaja yang dapat 
         menguraikan air kepada juzuk-juzuknya.

(c) menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:

    (i) Harga sekilogram ayam meningkat kepada RM6.50.
   (ii) Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih 
        baik.
  (iii) Harga pasaran saham menurun kepada paras yang 
        membimbangkan. 

No comments:

Post a Comment